Kota Cinta
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
2011/05/15
PENGALAMAN menyusuri Sungai Seine, Paris sambil menghayati
keindahan Menara Eiffel yang berlatar belakang panorama indah
bersulamkan garapan kota lama dan moden, pasti menjadi kenangan manis
pengunjung Kota Cinta ini. Namun, apakah itu saja gamitan ke sini atau
ada banyak lagi keunikan kota Perancis ini yang boleh diteroka? Ikuti
catatan wartawan Berita Minggu, MOHD AZRONE SARABATIN, yang sempat
bertandang ke destinasi percutian popular itu.
Susuri 37 nadi Paris
ANTARA
kemodenan dan garapan masa lalu. Inilah keunikan kota Paris - ibu
negara Perancis yang sudah terlalu popular di bibir ramai, apalagi yang
pernah menjejakkan kaki ke sini. Apa yang menarik, biarpun bersandarkan
senario abad ke-21, masih banyak ciri-ciri Kota Cinta ini yang tersergam
sedari zaman silamnya termasuk mercu tanda utamanya - Menara Eiffel
yang dibina pada 1889.
Sudah pasti, antara cara terbaik menghayati keindahannya adalah dengan
menaiki bot pelancong menyusuri tebing Sungai Seine di Paris. Penulis,
seperti juga pengunjung lainnya, teruja dengan mata tidak jemu mengagumi
Menara Eiffel yang turut diisytiharkan antara tujuh keajaiban dunia
serta tarikan lain kota ini.
Pengembaraan bot selama sejam 15 minit mulai jam 11 pagi bermula dari
pangkalan Bateaux-Mouches dan berakhir di hadapan tapak Menara Eiffel.
Setiap destinasi dipisahkan sebuah jambatan merentangi sungai. Ada 37
jambatan merentasi Sungai Seine dalam bandar raya Paris yang boleh
diibaratkan sebagai nadi kota ini.
Penulis sendiri, secara peribadi, menganggap pengalaman menyaksikan
Menara Eiffel dari dalam bot ketika menyusuri sungai sebagai detik yang
menakjubkan. Menara Eiffel setinggi 320 meter itu
dibangunkan pada 1889 dan direkabentuk oleh arkitek terkenal Gustave Eiffel.
Di sebalik binaan besinya, mercu tanda ini memiliki 1,710 anak tangga
yang menjadikannya menara tertinggi di dunia sehingga 1931 sebelum
pembinaan Empire State Building di New York, Amerika Syarikat. Sewaktu
pembukaan rasmi Menara Eiffel, Gustave Eiffel mendaki semua anak tangga
ke puncak menara untuk memacakkan sendiri bendera Perancis. Biarpun
hilang gelaran menara tertinggi dunia, Menara Eiffel diiktiraf sebagai
tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO).
Sungai Seine yang mengalir dari timur ke barat adalah nadi
pelancongan, ekonomi dan sejarah kota Paris termasuk menjadi titik
pengukur jarak iaitu angka kosong bermula di Ille de la Cite, sebuah
pulau kecil di tengah sungai.
Sungai itu turut membahagikan Paris kepada dua iaitu ‘Right Bank’
(tebing kanan) di bahagian utara dan ‘Left Bank’ (tebing kiri) di
bahagian selatan sungai. ‘Right Bank’ adalah kawasan industri kecil
dengan memiliki pelbagai gedung niaga dan pejabat manakala bahagian
‘Left Bank” digemari sebagai lokasi seniman dan cendekiawan.
Dari aspek sejarah, kota Paris juga seakan dibahagi kepada dua iaitu
di timur Sungai Seine berlatarkan sejarah silam kota manakala di
bahagian baratnya cenderung ke arah era dunia moden abad ke-19 dan
ke-20.
Pengembaraan ringkas di sungai itu membolehkan kita menikmati
pelbagai monumen sejarah seperti muzium, bangunan lama, menara jam,
gereja tua, patung dan arca pemimpin masa lalu, juga ada rumah dan
pangsapuri yang bercirikan seni bina klasik Perancis.
Untuk makluman, pelbagai bot pelancong memberikan perkhidmatan
seperti Bateaux-Mouches, BatObus dan Bateaux Parisien dengan kapasiti
antara 600 hingga 1,400 penumpang.
Harga tiketnya bagi perjalanan lebih sejam itu juga berpatutan iaitu
sekitar 19.16 Euro atau (RM83) seorang untuk dewasa dan separuh harga
untuk kanak-kanak. Bagaimanapun harga tiket berubah mengikut musim atau
perayaan di Perancis.
Pelayaran penulis melintasi Pont des Invalides yang dihiasi kemegahan
Pont Alexandre III dengan empat tiang utama di kedua sisi jambatan
serta empat patung kuda terbang yang bersalut emas.
Ada fakta mengatakan jambatan yang menghubungkan kawasan Des
Invalides dan Grand Palais – Champs Elysees adalah yang terindah di
Paris yang dibina oleh putra Raja Russia, Tsar Alexander III pada 1896.
Pelayaran diteruskan ke Pont de la Concorde yang menempatkan Place de
la Concorde yang terkenal dengan hukuman pancung terhadap Marie
Antoinette, permaisuri Raja Perancis, Louis XVI ketika Revolusi Perancis
pada 1793. Antoinette dikenali sebagai ratu yang dingin dan kejam. Di
sebelah kanan pula adalah Muzium Orsay (Musee de Orsay), satu daripada
muzium tersohor di Paris untuk koleksi seni.
Seterusnya, Pont du Carrousel yang menempatkan Muzium Louvre iaitu
antara muzium terbesar di Eropah yang terkenal dengan koleksi hebatnya
seperti potret Monalisa karya pelukis terkenal dunia dari Itali,
Leonardo da Vinci. Mendiang dilahirkan pada 15 April 1452 di Florence,
Italia. Muzium ini juga semakin gah selepas menjadi menjadi lokasi
pembikinan filem popular ‘Da Vinci Code.’
Seterusnya di depan mata adalah Pont des Arts, jambatan khas untuk
pejalan kaki dan ia adalah jambatan besi pertama yang dibangunkan di
Paris pada 1804. Seterusnya, jambatan panjang Ile de la Cite, kawasan
paling bersejarah di Paris.
Pont Neuf pula adalah jambatan tertua di Paris yang dibangunkan pada 1578 tetapi s